mari mengarang

Wednesday, November 23, 2005

BENGKEL SESELAI

Assalamualaikum. Syukur, akhirnya bengkel PEN berjaya juga sampai ke hujungnya. Tepat jam 6.30 pm Ahad 18. nov. 2005 saya dan Fizi bertolak pulang setelah duduk di kerusi bengkel sedari jam 8.30am. Kami menaiki komutar dari Seremban ke Kuala Lumpur jam 7.00pm. Nampak sangat Fizi keletihan. Kesian dia. Pertama, katanya tak tidur sepanjang malam (almaklum... meninggalkan isteri dan anak). Punya bersemangatnya dia dengan bengkel cerpen itu, sampaikan terpaksa tidur di rumah bujang berhampiran stesyen komutar kerana rumahnya sendiri jauh dari stesyen dan rumah saya. dengan galakan isteri, mungkin, Fizi bermalam di rumah bujangnya. Alhamdulillah, dia dikurniakan isteri dan anak yang memahami minat dan kesungguhannya. Tahniah Fizi dan isteri (jururawat hospital Selayang). UNTUK BERJAYA DAN CEMERLANG, KITA MESTI BERKORBAN.

Banyak pelajaran dan pengalaman baru saya perolehi di bengkel PEN itu. Semua cerpen diberi pujian dan ransangan, tapi... semuanya juga diberi komen. Pada saya, komen-komen itu tidak sedikit pun melemahkan semangat saya, sebaliknya lebih memberansangkan. Maklumlah, kita menulis mengikut kehendah sendiri, selera sendiri dan angan-angan sendiri. Kita menulis untuk dibaca umum. Oleh itu, pembacalah yang selayaknya menilai dan memberi komen. Kadang-kadang, kita tidak ternampak kesilapan dan kepincangan kita, tugas kawan-kawanlah menunjuk ajar. Lebih-lebih lagi yang sealiran dan sebidang.

Nampaknya, semua peserta hari itu, berfikiran terbuka dan ikhlas dalam memberi tunjukajar. Yang lebih berpengalaman, memberi pengalamannya untuk ditangguk peserta lain, sementara yang masih setahun jagung seperti saya, masih berpeluang melontar sedikit sebanyak komen dan mereka dengan senang hati menerimanya. Syabas! Tahniah juga pada Saudari Nisah. Dah menang banyak kali dalam penulisannya, tapi tak meninggi diri dan murah dengan ilmu pengetahuan. Sebagai orang biasa, saya tabit padanya. Saya belum pernah punya kawan seorang peguam. Inilah kali pertama saya berbual dan bergurau senda dengan wanita berstatus begitu. Kadang-kadang saya lupa kedudukan dirinya. Tapi walaubagai mana pun, saya tetap menghormatinya bukan sahaja selaku peguam tetapi juga penulis berkaliber.

Puan Mawar Syafie juga tidak mengecewakan, beliau sedia merendahkan diri mampir di celah-celah ketandusan kami. Di sesi kedua bengkel (selepas rehat dan solat zohor) beliau hadir. Terperanjat saya. Saya belum pernah melihatnya dari dekat begitu, apatah lagi berbual dan bersoal-jawab dengannya. Orangnya manis, cantik dan penuh ciri keibuan. Beliau juga sesuai dijadikan sahabat dan teman berual. Lontaran suaranya begitu mendatar dan senada, lembut dan beralun. Saya benar-benar kagum. Setiap nasihat dan komentarnya saya terima sebagai satu pelajaran baru. Sungguh tinggi ilmu bahasanya, setinggi santunnya sebagai wanita Melayu dan sesuai sekali dengan namanya yang cantik. (MAWAR)
Tahniah dan terima kasih Puan Mawar.

Kepada Laila, Fizi, Nas, Amiza, Serunai, Syarifah, Nisah dan Adip... terima kasih juga pada kalian. Salam perkenalan dan salam sayang dari saya. SISIPKAN SAYA DI CELAH KARYA-KARYA UNGGUL SAUDARA.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home